Monday, September 23, 2013

: : Adakah Orang Islam Menyembah Kaabah? : :

Adakah Orang Islam Menyembah Kaabah?
Oleh: Dr Zakir Naik


Soalan

Memandangkan Islam mengharamkan penyembahan berhala, mengapa orang Islam menyembah dan tunduk kepada Kaabah semasa solat?

Jawapan

Kaabah adalah kiblat iaitu arah yang dihadap apabila orang Islam menunaikan solat. Penting untuk dinyatakan, sungguhpun orang Islam menghadap Kaabah semasa solat, mereka tidak menyembah Kaabah.

Orang Islam menyembah dan tunduk hanya kepada Allahswt. Surah al-Baqarah menyebut:

“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka
sungguh Kami akan memalingkan mukamu ke kiblat yang kamu sukai.
Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu
berada, palingkanlah mukamu ke arahnya.” [Al-Quran 2:144]

1. Islam Menganjurkan Perpaduan.

Contohnya jika orang Islam ingin menunaikan solat, berkemungkinan ada orang yang ingin menghadap utara, ada yang ingin menghadap selatan. Untuk menyatukan umat Islam dalam penyembahan kepada Tuhan Yang Satu (Maha Esa), di mana sahaja mereka berada, umat Islam disyaratkan menghadap hanya satu arah, iaitu Kaabah. Jika ada umat Islam yang tinggal di sebelah barat Kaabah, mereka menghadap ke timur. Begitu juga, jika mereka tinggal di sebelah timur Kaabah, mereka menghadap ke barat.

Monday, October 10, 2011

Syahwat Perut Dan Syahwat Faraj

Seabad yang lalu Karl Marx menyatakan bahawasanya yang menentukan perang dan damai di dunia ini, yang hidup pertentangan di antara manusia ialah perebutan mencari makan ataupun mengisi perut.

Segala soal dalam dunia ini, berpusat kepada perut. Semua orang ingin kenyang dan tak mahu lapar lalu merebut makanan. Maka terjadilah pertentangan yang tidak dapat dielakkan, suatu hukum besi di antara golongan yang mempunyai (berada) atau golongan yang tidak mempunyai (miskin).

Dan setengah abad yang lalu datang pula seorang bernama Sigmund Freud, menyatakan bahawasanya bukan urusan perut yang menjadi sebab timbulnya pertentangan dan perebutan di dalam dunia ini. Bukan perut, melainkan faraj (kelamin). Kecerdasan orang berfikir menurut Freud, atau kegoblokannya (kebodohannya), sukses (berjaya) atau gagal, soalnya hanya satu iaitu soal libido! Iaitu soal keinginan jantan kepada betina dan betina kepada jantan. Lebih popular lagi ialah soal seks.

Kedua-duanya Marx dan Freud adalah keturunan Yahudi yang lahir dalam Getho, di masa Eropah masih memandang kaum Yahudi seperti najis. Mereka membanting otak mencari sebab kegawatan ekonomi dan sosial di benua Eropah dan mereka telah mengeluarkan hasil ilmiah, berdasarkan materialisme semata-mata. Mereka telah menyatakan pendapat.

Tetapi 700 tahun sebelum Marx mengeluarkan fahamannya dan 750 tahun pula sebelum Freud muncul ke gelanggang ilmiah seorang pujangga dan filosof Islam, iaitu Imam Ghazali telah menyatakan bahawa dua faktor menentukan hidup manusia dan kedua-dua faktor itu amat perlu bagi hidup, iaitu syahwat perut dan syahwat faraj.

Ghazali memandang bukan dari segi perutnya saja, sebagai pandangannya Marx. Dan bukan dari segi faraj saja sebagai pandangan Freud, malahan kedua-duanya, kalau kedua-duanya itu tidak ada, manusia musnah dari muka bumi ini.

Kalau manusia tidak mempunyai syahwat faraj, iaitu lelaki tidak menginginkan perempuan lagi dan perempuan tidak lagi bersyahwat kepada lelaki punahlah keturunan manusia dari muka bumi ini.
Kedua-dua orang yahudi itu, Marx dan Freud, tidak memandang soal ini dari segi kerohanian, atau segi agama. Malahan kedua-duanya mengutuk penggunaan agama untuk menyelesaikan persoalan. Kedua-dua fahaman ini adalah penambahan belaka bagi pengukuhan materialisme dalam dunia ini.

Adapun Ghazali, sesudah mengakui bahawa perut dan faraj adalah kepastian mutlak bagi kelanjutan hidup manusia, memberi peringatan lagi bahawa manusia adalah satu-satunya makhluk yang berakal yang dapat menimbang buruk dan baik. Kalau sekiranya manusia hanya menurutkan syahwat perutnya, nescaya benarlah apa yang dikatakan Marx iaitu perebutan rezeki yang tidak mengenal damai, di antara manusia dan manusia kerana hendak mengisi perut. Timbul pertentangan kelas, di antara yang kaya dengan yang miskin, dan timbullah dendam yang tidak berkeputusan.

Demikain juga kalau sekiranya syahwat faraj tidak terkendali, darjat manusia nescaya akan runtuh menjadi binatang. Orang tidak perlu lagi mengenal siapa bapanya kerana semua lelaki boleh menyetubuhi ibunya.
Maka diberikan tuhan manusia itu akal dan diberi tuhan pula manusia itu agama. Akal yang murni sesuai dengan agama yang suci. Agama mengatur agar dalam mencari pengisi perut, manusia harus mengenal halal dan haram. Dan di dalam mengisi syahwat faraj, manusia harus menuruti peraturan nikah dan kahwin.
Sebab itu kehidupan di antara manusia jangan hanya di atur dari luar hitoronomus tetapi lebih penting lagi peraturan yang datang dari dalam diri manusia itu sendiri, autonomus.

Setipa orang berakal dapat merasakan bahawa orang lain akan bertahan, walaupun nyawanya akan melayang, kalau harta-bendanya atau periuk nasinya dirampas. Sebab itu, kalau tidak mempunyai kelebihan kekuatan, tidaklah si kuat hendak menindas si lemah. Namun demikian seluruh manusia berkeinginan agar boleh mempunyai persediaan makanan yang cukup. Bukan saja cukup, malahan berlebihan daripada persediaan yang ada pada orang lain.

Setelah melihat perebutan rezeki ini, benarlah apa yang dikatakan Marx bahawa perebutan makananlah dari segala bencana dalam dunia ini pangkal segala permusuhan dan pertentangan kelas. Asal mulanya hanya mencari sepiring nasi, sepiring siang dan sepiring malam, tetapi dalam masa yang tidak lama, naik menjadi mengumpul harta banyak-banyak dan tidak mempedulikan lagi kepada orang lain, apakah mereka dihimpit, ditindas atau dihancurkan.

Dari nafsu makan naiklah kepada nafsu menguasai, dari sinilah sumbernya fahaman kapitalis dan imperialis, penindasan manusia atas manusia.

Asalnya cuma soal sedikit saja; saol perut.

Perut yang panjangnya hanya sejengkal dan lebarnya hanya dua jengkal. Tetapi dari perut sejengkal panjang dan lebar dua jengkal itulah pangkal kemelut dunia.
Demikian juga dari syahwat faraj.

Meskipun agama sudah mengatur supaya hubungan kelamin, seks atau nafsu berjalan dengan tenteram, jangan rebutan dan teratur anak cucu dan keturunan, namun nafsu syahwat manusia masih saja ada. Orang Islam yang dibolehkan beristeri empat kalau dapat berlaku adil, boleh menyalahgunakan kebolehan ini. Lalu dia kahwin sampai empat, kalau bosan dia ceraikan setengah dan dia cari lagi ganti pengisi tempat yang kosong. Adapun orang yang agamanya hanya membolehkan beristeri satu, kerana syahwatnya, mencarilah dia luar dengan tidak berbatas.

Ajaran Freud tentang seks ini pun sangat besar pengaruhnya di zaman moden. Perempuan, sejak ajaran Freud tersohor, sudah jauh lebih maju dari dahulu. Maju ke dalam kehidupan binatang.

Nilai dan kesucian perkahwinan tidak ada lagi. Hubungan lelaki dengan perempuan sudah sangat chaos dan mengerikan. Seorang Yahudi lain namanya Jean Paul Sartre dengan tegas mengajarkan pula apa guna berkahwin! Perkahwinan mengikat kebebasan diri peribadi kita, padahal kita telah wujud, telah ‘exist’ di dunia ini. Sehingga terjadilah hubungan seks tanpa nikah, sama seperti binatang. Muncul pula bacaan dan gambar-gambar ponografi, yang dijual di pinggir pinggir jalan, bahkan di Eropah, Amerika dan Jepun, berdiri toko-toko SEKS, ‘Shop Seks’ yang menjual gambar dan video kaset porno.

Semua orang berakal budi, filosof moral seluruh dunia, ahli-ahli dalam soal etika dan sosiologi, sependapat bahawa ini adalah bahaya besar bagi peri kemanusiaan di zaman depan.
Di sinilah kita merasakan perlunya ajaran agama tentang berpuasa.

Puasa adalah kendali atas syahwat perut dan syahwat faraj yang datang dari dalam diri kita sendiri, autonomus.

Satu bulan lamanya nafsu makan dan nafsu seks dikendali. Latihan satu bulan bukanlah perkara kecil, ia akan sangat berbekas bagi jiwa.

Diri kita ini mesti dikendalikan! Kalau tidak, dia akan berlarut-larut dalam keadaannya. Asal kantong berisi, diri ini kadang-kadang tidak peduli lagi dari mana akan datang sumbernya.

Perebutan pangkat, perebutan kekuasaan, hasad dengki, siku-menyiku, baik dalam percaturan ekonomi atau percaturan politik, maksudnya yang tersembunyi adalah untuk merebut jaminan hidup tadi. Tegasnya untuk merebut makanan.

Kemewahan yang berlebih-lebihan dan lelaki yang jual tampang ialah kerana hendak memikat hati kaum Hawa. Sehingga soal libido ini kadang-kadang secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi kebijakan politik suatu Negara. Lebih-lebih apabila kaum Hawa telah mendedahkan diri kepada umum, mahu turut serta di dalam segala urusan. Lantaran itu timbullah perlumbaan hidup mewah, dan dua kali dua sama dengan empat; timbullah korupsi! Korupsi dalam segala bidang!

Di mana semua bahaya ini akan dibatasi? Bahaya syahawat perut dan bahaya syahwat faraj ini?

Dibatasi pada diri kita sendiri dengan puasa. Dengan mengendalikan diri dari dalam autonomus itu. Dengan sengaja, dengan kesedaran melatih diri meninggalkan makan dan minum di siang hari dan beribadat di malam hari, sebulan lamanya.

Walaupun beras yang dimasak jadi nasi, hasil pencarianmu yang halal, bukan barang tipuan atau curian, namun ia tidak boleh engkau makan ketika puasa.
Walaupun isteri sendiri, telah sah nikah ijab dan kabul, telah berlaku dan telah bergelanggang di mata orang ramai, namun bila perintah puasa datang, wajib hubungan suami-isteri dihentikan pada siang hari bulan Ramadan.

Apabila puasa ini dipraktikkan dengan sedar, terjadilah perubahan pandangan hidup, harta tidak lagi sebagai panglima yang menentukan, melainkan dijadikan alat untuk berbuat baik.

Cubalah lihat tatacara hidup seorang Muslim di bulan puasa. Kegiatannya mencari nafkah tidak terhenti kerana puasa. Tetapi hasil usahanya sudah didorong oleh satu niat, iaitu niat berbuat baik dengan harta itu.
Sehabis puasa dia mengeluarkan zakat fitrah untuk fakir miskin. Dan dibiasakannya juga sehabis puasa itu membahagikan zakat hartanya kepada yang berhak menerima. Dengan demikian nafsu individualis telah dibatasi.

Dan pertentangan kelas ajaran Marx tidak terjadi. Sebab yang kaya bukan membenci yang miskin, melainkan merasa sayang dan wajib memberikan sebahagian hartanya. Dan yang miskin tidak dengki kepada yang kaya melainkan mendoakan, moga-moga bertambah rezekinya. Sebab dia sendiri mempunyai bahagian di dalamnya.

Dalam kekalutan dan keributan politik yang tidak menentu, akibat perebutan rezeki dan dorongan nafsu perut dan faraj, saat orang yang dengan segala senang hati, berkenan menjual ‘akidah’, asyik menyikat dan mengambil muka demi memuaskan nafsu, tiba-tiba bulan Ramadan datang.
Dan marilah kita berpuasa dengan penuh kesedaran.

Saturday, October 8, 2011

Arab, Yahudi & Islam

Sejarah berjalan terus. Undang-undang Tuhan berlaku terus buat ummat manusia. Di saat kini kaum Bani Israil itu telah dapat mendirikan kembali kerajaannya di tengah-tengah Tanah Arab, di Palestina yang telah dipunyai oleh orang Arab Islam sejak 1400 tahun, dan beratus-ratus tahun sebelum itu telah dikuasai negeri itu oleh orang Romawi dan Yunani. Sudah lebih dari 2000 tahun tidak lagi orang Yahudi mempunyai negeri itu.

Tetapi dengan uang dan pengaruh, mereka menguasai pendapat dunia untuk tidak mengakui negeri Islam itu. Tujuh Negara Arab, hanya satu yang tidak resmi Negara Islam, yaitu negara Lebanon. Ketujuh Negara Islam itu kalah berperang dengan mereka (1948), dan langsung juga negeri Israel berdiri.

Maka setelah ditanyai orang kepada Presiden Negeri Mesir, (ketika itu Republik Arab Persatuan) Jamal Abdel Nasser, apa sebab tujuh Negara Arab dapat kalah oleh satu negara Israel, Nasser menjawab. “ kami kalah ialah karena kami pecah jadi tujuh, sedang mereka hanya satu.”

Pada tahun 1948, peperangan hebat di antara orang Islam Arab dengan Yahudi itu, yang menyebabkan kekalahan Arab, negara-negara Arab baru tujuh buah. Kemudian, tengah buku Tafsir Al-Azhar ini masih dalam cetakan yang pertama (Juni 1967), negara arab tidak lagi tujuh, melainkan telah menjadi tiga belas. Waktu itu sekali lagi Israel mengadakan serbuan besar-besaran. Sehingga dalam enam hari saja lumpuhlah kekuatan Arab Islam, hancur segenap kekuatannya.

Beratus buah pesawat terbang kepunyaan Republik Arab Mesir dihancurkan sebelum sempat naik ke udara. Belum pernah negeri-negeri Arab khususnya dan ummat Islam umumnya menderita kekalahan sebesar ini, walaupun dibandingkan dengan masuknya tentera kaum salib dari Eropa, sampai dapat mendirikan Kerajaan Palestina Keristen selama 92 tahun, sepuluh abad yang lalu.

Maka dikaji oranglah apa sebab sampai demikian?

Setengah orang mengatakan kerana persenjataan Israel lebih lengkap, dan lebih moden. Setengah orang mengatakan bahwa bantuan dari negara-negara Barat terlalu besar kepada Israel, sedang Republik Arab Mesir sangat mengharap bantuan Rusia. Tetapi di saat datangnya penyerangan besar Israel itu, tidak datang bantuan Rusia itu.

Setengahnya mengatakan bahwa Amerika dan Rusia menasihati Republik Arab Mesir agar jangan menyerang lebih dahulu; kalau sudah diserang baru membalas. Tetapi Israellah yang memang menyerang lebih dahulu, sedang pihak Arab telah taat kepada anjuran Rusia dan Amerika itu.

Tetapi segala analisa itu tidaklah kena mengena akan jadi sebab musabab kekalahan. Kalau dikatakan persenjataan Israel lebih lengkap, senjata Republik arab Mesir tidak kurang lengkapnya. Kalau bukan lengkap persenjataan Mesir, tentu Presiden Jamal Abdel Nasser dan terompet-terompetnya di radio tidak akan berani mengatakan bahwa kalau mereka telah menyerang Israel pagi-pagi, sore harinya mereka sudah bisa menduduki Tel Aviv.

Kalau dikatakan bahwa orang Yahudi Israel itu lebih cerdas dan pintar, maka sejarah dunia sejak zaman Romawi sampai zaman Arab menunjukkan bahwa bangsa yang lebih cerdas kerapkali dapat dikalahkan oleh yang masih belum cerdas. Bangsa Jerman yang waktu itu masih biadap, telah dapat mengalahkan Romawi. Bangsa Arab yang dikatakan belum cerdas waktu itu, telah dapat menaklukkan kerajaan Romawi dan Persia.

Sebab yang utama bukan itu. Yang terang ialah karena orang Arab khususnya dan Islam umumnya telah lama meninggalkan senjata batin yang jadi sumber dari kekuatannya. Orang-orang Arab yang berperang menangkis serangan Israel atau ingin merebut Palestina sebelum tahun 1967 itu, tidak lagi menyebut-nyebut Islam.

Islam telah mereka tukar dengan Nasionalisme Jahiliyah, atau Sosialisme ilmiah ala Marx. Bagaimana akan menang orang Arab yang sumber kekuatannya ialah imannya, lalu meninggalkan iman itu, malahan barangsiapa yang masih mempertahankan ideologi Islam, dituduh Reaksioner.

Nama Nabi Muhammad sebagai pemimpin dan pembangun dari bangsa Arab telah lama ditinggalkan, lalu ditonjolkan nama Karl Marx, seorang Yahudi. Jadi untuk melawan Yahudi mereka buangkan pemimpin mereka sendiri, dan mereka kemukakan pemimpin Yahudi. Dalam pada itu, kesatuan akidah kaum Muslimin telah dikucar-kacirkan oleh ideologi-ideologi lain, terutama mementingkan bangsa sendiri.

Sehingga dengan tidak bertimbang rasa, di Indonesia sendiri, di saat orang Arab bersedih kerana kekalahan, Negara Republik Indonesia yang penduduknya 90% pemeluk Islam, tidaklah mengirimkan utusan pemerintah buat mengobat hati negara-negara itu, melainkan mengundang Kaiser Haile Selassie, seorang Kaisar Keristen yang berjuang dengan gigihnya menghapuskan Islam dari Negaranya.

Ahli-ahli fikir Islam moden telah sampai kepada kesimpulan bahwasanya Palestina dan Tanah Suci Baitul-Maqdis, tidaklah akan dapat diambil kembali rampasan Yahudi (Zionis) itu, sebelum orang Arab khususnya dan orang-orang Islam seluruh dunia umumnya, mengembalikan pangkalan fikirannya kepada Islam. Sebab, baik Yahudi dengan Zionisnya, atau negara-negara Kapitalis dengan Cristianismenya, yang membantu dengan moril dan materiel berdirinya Negara Israel itu, keduanya bergabung jadi satu melanjutkan Perang Salib moden, bukan untuk menentang Arab karena dia Arab, melainkan menantang Arab karena dia Islam.

Sumber: Tafsir al-Azhar, Juz 1, m/s 220-221, Prof. Hamka


Kisah Pemuda Yahudi


Pada suatu hari Nabi berhutang kepada seorang Yahudi, dan berjanji akan membayar hutangnya beberapa hari kemudian. Maka sebelum habis janji, Yahudi itu telah datang menunggui piutangnya. Lalu rasulullah saw berkata . “Kan janji kita belum sampai?”

Dengan tidak segan-segan sedikit pun Yahudi itu berkata: “memang kamu keturunan Abdul Mutalib, semuanya berat benar membayar hutang”.

Tidak sedikit pun berubah muka Rasulullah saw mendengar hinaan yang pedih itu, hanya sahabat-sahabat beliau juga yang naik darah. Setelah agak tenang berkatalah yahudi itu: “Segala isi kitab taurat telah hamba baca, ya Rasulullah di sana tersebut sifat-sifat nabi akhir zaman yang akan memberi tuntunan kepada dunia. Dan, segala sifat tersebut itu telah hamba ujikan, semuanya sesuai.

Cuma sebuah sahaja yang belum hamba buktikan. Di dalam taurat tersebut; bilamana datang kepadanya orang yang sangat bodoh dengan perangai yang kasar, bukan marahnya yang bertambah, melainkan maafnya. Hari ini hamba uji sifat itu, dengan berhadapan,-kiranya sesuai pula. Maka, …ashadu alla ilaha illa Lah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah,” dan Yahudi itupun terus memeluk Islam.

Dalil Adanya Tuhan

Manusia telah ada di dunia. Namun manusia mengakui bahawasanya dia terjadi bukanlah atas kehendaknya. Bukanlah dia yang menjadikan dirinya. Bukan dia yang membuat anaknya. (Kalau manusia sendiri yang membuat anaknya, tentulah anak yang berpangkat besar, kaya-raya, tidak berpenyakit, akhlak baik, cantik dan sebagainya yang dia mahu. Namun, kadang-kadang anak yang lahir tidak cukup bulan, cacat anggota, bahkan ada yang mati sejurus selepas lahir. Manusia sedar bukan dia yang membuat anaknya.)
                                                           
Bumi tempatnya tegak pun bukanlah dia yang membuat. Dia hanya telah mendapati saja bumi itu ada. Langit pun didapati telah menjadi atap tempat berlindung, dan tangan kita tidak ikut membinanya.

Ada beberapa orang manusia sekali-sekali menyombong lalu mendakwa dirinya Tuhan, yang maha kuasa pula. Sebenarnya semua orang pun mudah saja mendakwakan kata demikian, meskipun menjadikan sehelai bulu romanya pun dia tidak sanggup. Teranglah sudah bahawasanya mengadakan dan  menimbulkan sesuatu daripada tidak ada, tidaklah ikut campurtangan manusia, atau binatang atau tumbuh-tumbuhan. Dan terang pulalah bahawasanya segala sesuatu, tidak ada yang terjadi sendirinya.

Asal fikiran sihat, walaupun belum tinggi dan belum menjadi ahli ilmu pengetahuan yang mendalam, nescaya sekali lintas pun akan mengaku bahawasanya ini Ada yang menjadikan. Memang ada Yang Maha Kuasa, Ada Allah, Ada Tuhan.

Bangsa Arab yang mula-mula menerima Al-quran dalam masyarakatnya yang masih sederhana, dianjurkan melihat unta, bagaimana dia dijadikan. Melihat langit, bagaimana dia diangkatkan. Melihat bukit-bukit, bagaimana dia dipancangkan. Melihat bumi, bagaimana dia dihamparkan! Dan setiap orang atau setiap bangsa yang berakal, dengan melihat kejadian alam kelilingnya akan dapatlah dia bertanya: “Siapa yang menjadikan ini?” Dia senantiasa, akan menjawab: “Ada Tuhan!”

Sumber: Falsafah Ketuhanan, Prof Hamka